Al-Khawarizmi

Abu Abdullah Muhammad Bin Musa al-Khawarizmi




     Setiap individu pastinya mempunyai matlamat dan hala tuju yang ingin dicapai dalam kehidupan masing-masing. Namun, bagi mencapai kejayaan dalam matlamat tersebut bukanlah suatu perkara yang mudah dan memerlukan pengorbanan yang besar dari pelbagai aspek seperti masa, keluarga dan juga hubungan sesama manusia dan Allah SWT. Abu Abdullah Muhammad bin Musa al-Khawarizmi atau lebih dikenali sebagai al-Khawarizmi merupakan salah seorang tokoh dalam bidang matematik dan astronomi yang paling berjaya semasa zaman keemasan Kerajaan Islam. Disebalik kejayaan yang berjaya dikecapi beliau tersimpan seribu satu rahsia ke atas sumbangan yang berjaya diberikan oleh beliau.

     Antara rahsia terbesar kejayaan beliau ialah dengan sentiasa bersikap rendah diri dan mengetahui akan potensi yang ada di dalam diri beliau. Meskipun beliau mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang serta mempunyai ilmu yang tinggi, beliau sentiasa beringat kepada Allah SWT dengan berpegang teguh kepada konsep tauhid dalam melakukan apa-apa perkara. Sikap tawakkal dan berserah kepada Allah SWT yang dijadikan rutin setiap kali membuat sesuatu itu membuatkan segala sumbangan dari segi ilmu mahupun teknologi menjadi barakah dan buah mulut umat zaman berzaman.

     Ikhlas dan tiada paksaan juga merupakan kunci kejayaan al-Khawarizmi dalam pelbagai bidang. Beliau telah memulakan semua karya ciptaan beliau dengan niat bagi membantu dan meringankan beban dan masalah masyarakat pada zaman tersebut dan tidak pernah sekalipun terdetik dihati beliau untuk mendongak langit dengan berbangga dan bongkak di atas hasil hasil kerja beliau. Selain konsep tauhid yang merupakan amalan al-Khawarizmi dalam menyumbang kepada kejayaan beliau, Beliau yang sentiasa berpegang teguh kepada keesaan Allah SWT dan sentiasa mengutamakanNya juga turut berlandaskan syariat islam dalam menghasilkan karya. Sebagai contoh, terdapat hasil karya beliau yang menitikberatkan keadilan dalam ilmu syariah Islam dimana karyanya dapat membantu dalam menyelesaikan masalah umat Islam seperti pembahagian harta pusaka, wasiat serta penentuan keluasan tanah.

     Sebagai kesimpulan kepada topik pada hari ini, kita dapat menyaksikan betapa tidak ada satu pun hasil karya ataupun sumbangan al-Khawarizmi dihasilkan untuk kepentingan beliau. Malah karya beliau berunsur universal dimana boleh digunakan oleh semua umat manusia dalam menyelesaikan masalah tanpa mengira agama masing-masing. Konsep tauhid yang dipegang teguh al-Khawarizmi juga merupakan elemen penting dalam membuat sesuatu perkara supaya ianya mendapat keberkatan dan juga barakah. Barakah disini merujuk kepada keteguhan dan keagungan sesuatu karya atau ciptaan itu sendiri dimana generasi pada masa kini masih dapat menyaksikan keindahan teknologi dan juga mengaplikasikan ilmu-ilmu menerusi sesebuah karya. Akhir sekali, niat yang suci dan betul perlulah dipraktikkan sebelum membuat sesuatu kerana dengan niat yang betul, barulah segala urusan yang dibuat akan diberkati dan sentiasa di dalam perlindungan Allah SWT.

Comments

Popular posts from this blog

Jabir Ibn Hayyan

Imam Al-Ghazali